Oleh : Azim Rahim | Sumber : Bernama

SEPANG, 8 Mei – Bendera UMNO, Sang Saka Bangsa yang diarak sepanjang Larian Bendera sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-71 UMNO tiba di daerah ini hari ini selepas diterbangkan dari Sabah.

Ketibaan bendera dan peserta larian dari UMNO Sabah itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.45 petang disambut oleh Ketua Bahagian UMNO Sepang Datuk Marsum Paing.

Rombongan UMNO Sabah disertai 200 pemuda yang diketuai Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah Datuk Kadzim M. Yahya dan Ketua Pemuda Sabah, Yamani Hafez Musa.

Marsum ketika ditemui pemberita di KLIA berkata larian bendera itu akan diteruskan bermula dari Bangunan UMNO Sepang menuju ke Sungai Manggis pada pagi Rabu ini sebelum diserahkan kepada Bahagian UMNO Kuala Langat.

“Dijangka 100 peserta yang terdiri daripada Pemuda UMNO Sepang akan menyertai larian kali ini.

Larian ini penuh bermakna bagi UMNO khususnya di Sepang bagi menimbulkan kecintaan pada parti ini yang menunjangi negara sejak mencapai kemerdekaan,” katanya.

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

5 + 16 =