Sumber : UMNO Online

KUALA LUMPUR, 7 April – Ahli Parlimen Sekijang, YB  Anuar Manap menyifatkan pembentangan usul Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 semalam oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di parlimen menyerlahkan siapa sebenarnya yang mempolemikkan isu berkenaan.

Sambil menyifatkan segala tuduhan dan momokan terhadap UMNO serta Barisan Nasional (BN) selama ini terhapus, beliau yang juga Exco Pemuda UMNO seterusnya menambah peristiwa semalam itu juga menyerlahkan parti-parti yang bernaung di bawah Pakatan Harapan takut kepada bayang-bayang sendiri.

“Kita boleh tengok dan lihat bagaimana wajah-wajah mereka sebelum dibentang…sewaktu hendak dibentang malah selepas dibentang usul berkenaan.. tindak-tanduk mereka umpama cacing kepanasan.

“Malah sejurus pembentangan berkenaan speaker menjadi sasaran dan pelbagai tohmahan dilontarkan. Bukankah Speaker telah memberitahu perbahasan mengenainya akan dibuat pada sesi parlimen akan datang.

“Kenapa mereka bising tidak tentu pasal dan jelas hari ini siapa sebenarnya yang mempolemikkan isu tersebut. Mereka seperti takut kepada bayang-bayang sendiri,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi hari ini juga terserlah siapa sebenarnya yang cuba bermain politik dan mempolitikkan isu tersebut demi kepentingan politik kepartian parti masing-masing.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya membentangkan usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU 355 di Dewan Rakyat hari ini di sebalik “gangguan” oleh beberapa anggota pembangkang sebelum beliau dapat membuat pembentangannya.

Perbuatan para anggota pembangkang itu, yang membangkitkan beberapa perkara dengan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, telah melengahkan masa kira-kira 30 minit sebelum anggota parlimen Marang dapat membentangkan usul berkenaan atas sifat rang undang-undang persendirian.

Anuar Manap seterusnya menegaskan perkara berkenaan adalah untuk mengangkat martabat mahkamah syariah dan bukannya mempunyai kepentingan serta agenda politik tertentu.

“Pindaan yang dicadangkan itu antara lain adalah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana pada masa ini Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda maksimum sehingga RM5,000 dan enam kali sebatan rotan.

“Jadi kita sama-sama boleh tengok perangai sebenar mereka. Namun saya yakin segala serangan terhadap UMNO dan BN berhubung soal ini akan terus dilakukan dalam usaha menjayakan rancangan politik mereka. Tapi pada masa yang sama rakyat dari masa ke semasa akan dapat menilai siapa sebenarnya yang cuba bermain politik,” ujarnya. -MediaUMNO

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

11 − ten =