Sumber : UMNO Online

KUALA LUMPUR – “Siapa sepatutnya jadi ‘anak jantan’? Azmin Ali atau Exco Pas?”, demikian persoalan yang dilontarkan Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berhubung cabaran yang dilontarkan perwakilan Pemuda PKR pada kongres sayap parti itu baru-baru ini.

Beliau seterusnya berpendapat cabaran seumpama itu sepatutnya ditujukan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan bukannya kepada Exco dan juga lantikan politik Pas yang lain di negeri terbabit.

“Cabaran pemuda PKR itu nampak pelik… mereka cabar orang lain untuk bersikap ‘anak jantan’ sedangkan yang ada ‘kuasa’ dan segala-galanya tidak mengambil apa jua keputusan dalam menamatkan kemelut tersebut.

“Sepatutnya yang ada kuasalah tunjuk keberanian dengan mengambil keputusan segera seperti mana yang diperkatakan oleh sesetangah pimpinan pakatan pembangkang yang lain dan termasuklah menjadikan Pulau Pinang sebagai contoh yang mengeluarkan Pas daripada kerajaan negeri,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Dalam bahasa politik yang lain pula kata Ismail lagi, apakah secara sinis perwakilan terbabit cuba memberitahu kepada Azmin agar bersikap ‘anak jantan’ untuk mengambil keputusan dan bukannya bersikap seperti mana hari ini.

“Bak kata pepatah, pisau dan mempelam berada ditangan Azmin dan terpulang kepada beliau untuk memotong ke arah mana buah mempelam tersebut. Ini bahasa perumpamaanlah,” ujarnya.

Isu berhubung kedudukan Exco Pas di dalam kerajaan Selangor terus menjadi bualan kepada masyarakat umum setelah parti terbabit di dalam muktamarnya sebelum ini mengambil keputusan memutuskan tahalluf siyasi dengan parti berkenaan.

Selain keputusan Biro Politik PKR memutuskan supaya semua lantikan politik PKR dalam kerajaan negeri Kelantan dilepaskan berkuatkuasa serta merta, muncul cabaran daripada seorang perwakilan Pemuda PKR (AMK) yang mencabar exco Pas dan semua lantikan politik di Selangor untuk meletakkan jawatan sekiranya mereka ‘anak jantan’.

“AMK Johor cabar Pas Selangor letak jawatan sebagai exco dan jawatan dalam kerajaan negeri. Mereka kalau anak jantan letak jawatan sekarang,” kata wakil AMK Johor, Naim Jusri pada kongres sayap parti itu di Shah Alam baru-baru ini.

Ismail seterusnya berkata kontroversi berkenaan dijangka akan terus berpanjangan selagi Azmin belum membuat sebarang keputusan mengenainya dan percaya akan terus menjadi kudis kepada kerajaan pakatan di Selangor.

“Kita tidaklah mahu ulas panjang-panjang dan apa yang pasti ianya memberi gambaran kepada kelemahan Azmin sebagai ketua kerajaan negeri selain memperlihatkan sebuah kerajaan yang pelik, luar tabiie sekiranya Exco Pas terus kekal dengan jawatan mereka sedangkan kedua-dua parti tersebut sudah memutuskan hubungan politik,” katanya. -MediaUMNO

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

5 − 1 =