Oleh : Azim Rahim | Sumber : UMNO Online

KUALA LUMPUR, 8 Sept – Bekas Setiausaha Pas Negeri Selangor, Norman Toha mendedahkan bahawa ada beberapa kenalannya yang terdiri dari ahli dan kepimpinan PKR meluahkan rasa tidak puas hati yang teramat sangat dengan pertemuan mesra Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sehinggakan ada di antara mereka yang menyifatkan perjuangan di dalam PKR selama ini sebagai sesuatu yang amat bodoh dan sia-sia.

Menurut Norman, malah desas-desus yang bertiup di kalangan ahli dan kepimpinan PKR bahawa berlakunya pertemuan secara sulit antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama hampir setengah jam menyemarakkan lagi rasa kecewa dan kesal di kalangan rakan-rakannya itu.

“Ya memang ada rakan-rakan baik sebagai ahli mahupun pemimpin di dalam PKR yang meluahkan rasa kesal mereka dengan pertemuan mesra Tun Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka begitu terkesan dengan adegan pertemuan tersebut sehingga menganggap perjuangan mereka untuk Anwar dan PKR selama ini amat bodoh dan sia-sia.

“Saya sebagai rakan dan juga sebagai seorang pejuang politik amat memahami perasaan mereka yang selama ini berjuang untuk Anwar dan menentang Tun Mahathir, alih-alih selepas 18 tahun berhempas pulas berjuang membela Anwar, semuanya selesai dengan satu pertemuan dalam keadaan berjabat tangan yang penuh kemesraan.

“Saya juga turut menasihati mereka agar memikirkan semula prinsip perjuangan mereka khususnya di dalam PKR dan pembangkang, serta saya minta agar mereka merenung dengan lebih mendalam, apakah perjuangan mereka  selama ini dapat memberikan manfaat kepada negara khususnya bangsa Melayu pada masa yang akan datang,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Sementara itu, beliau menyifatkan pertemuan mesra antara Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini seolah-olah menyerlahkan lagi matlamat dan agenda peribadi Tun Mahathir yang mesti dicapai dengan apa juga cara sekalipun dalam usahanya untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

“Jika berdasarkan perkembangan politik Tun Mahathir hari ini, matlamat kononnya untuk menyelamatkan negara saya kira hanyalah satu slogan bagi mengaburi matlamat yang sebenar. Apa yang jelas hari ini, tindakan Tun Mahathir hari ini sebenarnya lebih bermotifkan peribadi, sama seperti mana PKR yang diwujudkan atas perjuangan untuk membela Datuk Seri Anwar semata-mata.

“Tindakan Tun Mahathir yang sanggup bekerjasama bersama-sama bekas musuhnya seperti Lim Kit Siang dan hari ini Anwar sudah tentu memberikan kejutan besar bukan sahaja kepada ahli dan pemimpin politik, malah juga kepada rakyat.

“Tindakan beliau itu seolah-olah memberikan satu gambaran yang jelas bahawa apa yang beliau perjuangankan hari ini adalah lebih kepada matlamat dan agenda peribadinya sahaja dan bukan untuk negara,” ujarnya.

Beliau juga turut meluahkan kebimbangan tentang wujudnya campur tangan pihak-pihak tertentu yang menjadi batu api dalam usaha mereka untuk menyemarakkan lagi perpecahan di kalangan orang Melayu, bagi melemahkan kuasa politik bangsa Melayu itu sendiri.

“Apa yang saya bimbang ialah perpecahan bangsa Melayu dari sudut politik akan bertambah parah sekiranya ada pihak-pihak tertentu yang secara halus menjadi batu api dengan tujuan untuk melemahkan kuasa politik Melayu di negara ini.

“Sebab itu saya minta agar rakyat khususnya bangsa Melayu di negara ini agar kembali bersikap rasional dalam berpolitik dengan berpandukan pemikiran yang waras dan tidak ditunggangi oleh nafsu amarah semata-mata. Tidak ada gunanya jika kita berpolitik hanya untuk memecah belahkan bangsa sehingga kita hilang kekuatan. Saya kira kita sebagai orang Melayu perlu memikirkan perkara ini dengan lebih mendalam agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti,” tegasnya.-MediaUMNO

 

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

three × 1 =