Sumber : UMNO Online

KUALA LUMPUR, 7 Sept – ‘Perang’ yang berlaku di Selangor hari ini menunjukkan pakatan harapan bukan sahaja bercelaru malah gagal dalam membuktikan kepada rakyat bahawa mereka adalah yang terbaik dan mampu menggalas amanah serta tanggungjawab secara bersama di bawah satu payung selepas terkuburnya pakatan rakyat sebelum ini.

Menurut Ketua Penerangan Pemuda UMNO Selangor, Muhamad Nazri Mohd Amin gagalnya mereka jelas terpampang setelah Datuk Seri Azmin Ali yang merupakan menteri besar negeri berkenaan sehingga ke hari ini menerima tekanan demi tekanan baik dari kalangan partinya sendiri mahu pun rakan-rakan pakatan harapan yang lain.

Apatah lagi jelasnya, dengan desakan yang mahukan struktur pakatan harapan segera dimuktamadkan di negeri tersebut selain desakan agar Pas ‘ditendang’ keluar daripada barisan kerajaan yang ada hari ini.

“Kita sedia maklum bahawa pakatan pembangkang tidak akan bertolak ansur antara satu dengan yang lain disebabkan perbezaan ideologi dan juga kepentingan kuasa sesama mereka yang cukup menebal.

“Adanya niat tersembunyi di antara satu sama lain untuk mengawal atau keinginan menjadi salah satu parti yang monopoli kekuatan di dalam pakatan berkenaan menyebabkan ianya semakin sukar untuk berjalan lancar.

“Malah yang lebih merumitkan apabila tiada hala tuju untuk benar-benar mahu membantu rakyat dan hanya untuk kekal berkuasa menyebabkan pakatan harapan terus gagal di Selangor,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Pakatan harapan di Selangor dilihat terus meruncing setelah Azmin selaku orang nombor dua di dalam PKR dan Menteri Besar Selangor terus menerima tekanan demi tekanan. Selepas munculnya gelaran ‘kartel’ dan ‘barah’, Selangor mungkin boleh menjadi contoh terbaik kegagalan pakatan harapan.

Sebelum ini, dilaporkan Kumpulan aktivis Gerakan Aktivis Harapan (GAH) menuntut Datuk Seri Azmin Ali mengusir Pas daripada kerajaan negeri Selangor dalam tempoh 14 hari jika benar menteri besar itu komited untuk memacu kekuatan pakatan harapan.

Jurucakap GAH, Zanirun Baba berkata, Timbalan Presiden PKR itu juga dicabar untuk menyegerakan pembentukan Sekretariat Pakatan Harapan di Selangor dan menolak dominasi parti di mana-mana posisi dalam sekretariat tersebut.

Menurutnya, Azmin sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan mesti mengutamakan kesamarataan antara kesemua komponen parti dalam sekretariat itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Nazri seterusnya menegaskan kegagalan pakatan harapan di Selangor mungkin akan terus berjangkit ke negeri-negeri lain setelah parti yang bernaung di bawahnya tidak konsisten dan masing-masing terpalit dengan kontroversi.

“PKR dengan masalah ‘kartel’ dan ‘barahnya’…Dap dengan masalah pemilihan partinya sendiri serta rasuah dan begitulah sekutu mereka lain yang penuh dengan kontroversi yang tidak pernah padam,” katanya lagi. -MediaUMNO

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

1 × 4 =