Sumber – UMNO Online

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata keikhlasan, kestabilan dan keharmonian yang diamalkan  oleh Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama merupakan jarak pemisah yang cukup jelas dengan pakatan pembangkang apabila sehingga ke hari ini masih gagal diciplak walaupun pelbagai pakatan dijenamakan.

Menurut beliau satu persatu bermula dengan Angkatan Perpaduan Ummah (APU), Barisan Alternatif (BA) yang kemudiannya kepada Pakatan Rakyat dan hari ini dijenamakan pula dengan Pakatan Harapan namun masih gagal menemui titik sentuhan yang hampir menyamai BN.

“Yang jelas dilihat adalah bagaimana celaru dan caca merba pakatan mereka setelah masing-masing tidak berteraskan kepada prinsip kepercayaan antara satu dengan yang lain sebaliknya lebih kepada agenda tersendiri.

“Ambil contoh terdekat…bagaimana terkuburnya pakatan rakyat setelah masing-masing cuba menguasai antara satu sama lain kemudian dijenamakan pula kepada pakatan harapan yang hari ini rakyat boleh menilai dan melihat bagaimana masih terkial-kial dalam mencari titik persamaan.

“Namun berlainan dengan BN yang mana semakin hari semakin diperkukuhkan dengan semangat toleransi serta prinsip konsensus dan penuh kebersamaan. Lantaran itulah lahirnya kestabilan dan keharmonian yang hingga kini, insya Allah mampu dipertahankan bersama-sama dan rakyat terus memberi keyakinan yang cukup tinggi,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berkata kekuatan serta kestabilan dalam Barisan Nasional (BN) akan terus memberi keyakinan kepada rakyat untuk parti tersebut memimpin negara dan atas dasar berkenaan BN dapat terus memperkukuh persefahaman serta permuafakatan dalam soal pembahagian kerusi di kalangan rakan parti-parti komponen.

“Salah satu kekuatan BN secara tradisi adalah bahawa kita merupakan satu pakatan kukuh serta stabil dan tidaklah seperti pembangkang yang mana mereka seringkali membuat kenyataan dan pendirian yang bercanggah antara satu dengan yang lain sehingga kita tidak tahu siapa yang sebenarnya menjadi ketua kepada pakatan pembangkang,” ujarnya.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO seterusnya menegaskan jurang pemisah yang cukup besar itu terus menjadi igauan kepada pakatan pembangkang dan semestinyalah rakyat akan melihat serta memilih kepada faktor berkenaan dan bukannya bersandarkan kepada retorik semata-mata.

Apa yang jelas tegasnya lagi, keharmonian dan kestabilan merupakan asas kepada kejayaan sesebuah negara dan akhirnya nikmat itu bercambah dan seterusnya memberi limpahan faedah kepada seluruh rakyat dan juga negara.

“Inilah yang gagal dipraktikkan oleh pakatan pembangkang. Prinsip kita secara konsensus dan saling menghormati di kalangan rakan-rakan komponen yang lain benar-benar memberi kelebihan kepada kita dalam mengurus tadbir negara.

“Macam mana nak urus tadbir seandainya masing-masing penuh curiga dan sangsi antara satu dengan yang lain. Itulah bezanya antara BN dan pakatan pembangkang. Jurang pemisah yang gagal dipecahkan hingga ke hari ini,” katanya. –MediaUMNO

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

two × five =