Oleh : Azim Rahim | Sumber : UMNO Online

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim melihat sudah menjadi kelaziman pihak pembangkang bagi menutup kelemahan sendiri dengan mudahnya menuding jari ke arah UMNO sebagai dalang dalam kekecohan yang berlaku pada program Nothing To Hide 2.0.

Ujarnya, barisan kepimpinan Pakatan Harapan dengan rasa tidak bertanggungjawab menyimpulkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggunakan gangsterisme sebagai menutup mulut Tun Mahathir.

“Ini satu pertuduhan yang serius dengan sengaja ingin mencemarkan nama institusi Perdana Menteri dan nama baik kerajaan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jelasnya, pihak penganjur seharusnya mengkaji dan bersedia dari semua sudut kawalan keselamatan kerana ini adalah satu lagi kegagalan selepas program yang sama pernah dianjurkan oleh SukaGuam sehingga berlaku kekecohan.

“Jadi pihak pembangkang sudah tentu tahu dan masih lagi ingin meneruskan program seolah-olah hanya mahukan provokasi ini terjadi kononnya dibuat oleh orang luar.

“Armada PPBM sepatutnya menghormati bulan kemerdekaan dan Malaysa menjadi tuan rumah bagi Sukan SEA 2017. Mungkin mereka seakan tidak faham dan menjiwai maksud kemerdekaan 60 tahun negara serta istilah patriotisme sebenar dalam menjaga nama baik negara lebih-lebih lagi Malaysia kini menjadi tuan rumah Sukan Sea.

Tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, sistem demokrasi di negara ini dikhuatiri akan tercemar jika pihak pembangkang tidak mahu menghormati sistem yang sedia ada ini.

“Jika program sebegini diteruskan lagi, negara kita akan diancam dengan ketidakstabilan demokrasi dan keamanan politik.

“Pertikaian demi pertikaian dan politik andaian serta provokasi akan terus menjadi modal dalam menggugat sistem demokrasi negara ini.

“Justeru, semua pihak harus ingat, jangan jadikan Pilihan Raya Umum 14 (PRU-14) ini sebagai alat untuk merangka satu provokasi dengan menggugat kestabilan demokrasi dan mencemarkan imej negara kerana tanda-tanda jelas kelihatan kesan daripada penganjuran ini.” – MediaUMNO

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

seventeen + 13 =