Sumber : UMNO Online

KUALA LUMPUR, 12 Julai – Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Borhan bukan sahaja terkejut malah menyifatkan parti pembangkang sememangnya sekadar ‘tong kosong’ berhubung soal rasuah apabila dilihat masih gagal dalam menyatakan komitmen untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Menurut beliau pembangkang saban hari berdegar-degar bercakap mengenai soal rasuah namun komitmen mereka terhadap Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperlihatkan wajah politik mereka sebenar yang sentiasa ‘cakap tak serupa bikin’.

“Hari-hari bercerita mengenai rasuah…saban minggu berdegar-degar ingin menjadi sebuah kerajaan yang itu dan ini dalam memperkatakan soal tersebut namun mereka sendiri tidak menyokong inisiatif yang dibuat oleh SPRM.

“Apa yang susahnya…jika kerajaan negeri lain boleh menandatangani IBR, kenapa pula mereka sehingga kini masih belum berbuat demikian.

“Apa yang diperkatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad terhadap tiga kerajaan negeri di bawah kepimpinan pembangkang yang masih belum memberikan komitmen untuk menandatangani ikrar Ikrar Bebas Rasuah (IBR) amat tepat,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan menyindir tiga kerajaan negeri di bawah kepimpinan pembangkang berhubung Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Katanya cakap berdegar-degar tolak rasuah dan suruh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ambil tindakan, tetapi sehingga kini tiada sebarang komitmen ditunjukkan.

Ini kerana selepas tiga bulan Gerah dilancarkan oleh SPRM semua negeri kecuali iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan telah menandatangani ikrar tersebut.

Menurut Dzulkifli, program IBR adalah bersifat sukarela bagi melihat keprihatinan semua kerajaan negeri dalam memastikan pentadbiran di negeri masing-masing bebas rasuah dan salah guna kuasa.

Halimahton seterusnya menegaskan pimpinan parti pembangkang seharusnya seiring dan sewajarnya dengan pihak yang berkenaan dalam usaha menangani dan mengekang perbuatan terbabit.

Ujarnya jangan hanya sekadar pandai bercakap dan hanya bijak berkata-kata namun dari sudut komitmen ianya amat menyedihkan dan perkara tersebut tidak sewajarnya berlaku.

“Lagi pun sebelum ini bukankah main hebat mereka bercakap soal rasuah…nak hapuskan rasuah dan mahu menolak sebuah kerajaan yang terpalit dengan rasuah dan sebagainya. Tetapi benda kecil yang diusahakan itu masih tidak mendapat komitmen yang sepatutnya. Amat memalukan,” ujarnya.-MediaUMNO

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

nineteen − eleven =