Sumber : UMNO Online

KUALA LUMPUR, 19 Jan – “Bukannya Tun tak tahu laporan blommberg itu kurang tepat, tetapi sengaja dia petik juga laporan akhbar itu. Ini taktik politik beliau. Bila dah jadi pembangkang, beliau sengaja petik laporan media barat yang memburukkan kerajaan untuk kelirukan rakyat, walaupun beliau tahu laporan itu tidak tepat,” demikian jelas Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Menurutnya, ketika di zaman pemerintahan Tun Mahathir sebelum ini, beliau cukup tidak gemar dengan laporan media barat dan menyifatkan laporan media barat hanya bertujuan mahu memburukkan kerajaan dan negara.

“Dulu Tun Mahathir bukan main marah dengan media barat seperti Wall Street Journal yang mengkritik pentadbiran beliau dalam beberapa artikel mereka. Kata Tun, media barat ini tidak boleh dipercayai dan hanya mahu memberikan persepsi negatif terhadap Malaysia di mata dunia.

“Tetapi hari ini, sejak sudah berada di pihak pembangkang, Wall Street Journal kini sudah menjadi rujukan Tun Mahathir untuk menyerang kerajaan, terutamanya Datuk Seri Najib. Sedangkan akhbar inilah yang dikatakan beliau dulu sebagai akhbar yang tidak boleh dipercayai dan memaparkan laporan yang berat sebelah.

“Seperti mana dakwaan Tun Mahathir dalam isu Forest City sehingga mendapat teguran daripada Sultan Johor. Beliau menyelamatkan dirinya daripada teguran itu dengan mengatakan beliau hanya memetik laporan daripada Blomberg sahaja. Sedangkan beliau tahu laporan itu kurang tepat, tetapi beliau petik juga. Ini semua taktik politik cara putar belit Tun,” jelasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Ismail berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Tun Mahathir bahawa banyak tanah di Johor telah dijual kepada orang luar tanpa sekatan termasuk di Forest City.

Kenyataan beliau itu kemudiannya dibidas oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang meminta Tun Mahathir berhenti daripada membuat kenyataan yang tidak berasas dan hanya berdasarkan laporan media asing.

Tambah Ismail lagi, ketika di zaman pemerintahan Tun Mahathir, akhbar yang sama turut mengkritik beberapa projek-projek kerajaan yang dilaksanakan di zamannya seperti Cyberjaya, Putrajaya, Menara Berkembar Petronas dan lain-lain lagi.

“Dulu ketika beliau dituduh oleh WSJ merugikan negara hampir RM 100 bilion, beliau marah dan menyifatkan laporan media asing tidak boleh dipercayai dan berniat jahat. Tetapi hari ini, akhbar yang sama juga menyerang Datuk Seri Najib dengan pelbagai tuduhan, beliau percaya pula bahkan menggunakan sumber dari media asing untuk menyerang Datuk Seri Najib.

“Tidakkah tindakan Tun Mahathir hari ini amat-amat bercanggah dengan apa yang dikatakannya tentang media barat sebelum ini? Ketika pentadbiran Tun Mahathir diserang oleh media asing, beliau katakan media barat ada niat jahat dan berat sebelah dalam laporan mereka.

“Walaupun beliau tahu laporan media barat tidak tepat dan ada niat jahat, namun beliau tidak peduli. Apa yang penting baginya, ialah menjatuhkan Datuk Seri Najib dan UMNO, dengan apa juga cara sekalipun,” tegas beliau.-MediaUMNO

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

eight + nineteen =