Sumber : UMNO Online

KUALA LUMPUR, 29 Mei – Alumni Kelab UMNO Luar Negara (AKULN) yang terdiri daripada bekas-bekas pelajar dan ahli kepada 88 buah kelab-kelab UMNO seluruh dunia mendesak pemimpin pembangkang terutamanya daripada bekas pemimpin UMNO supaya tidak melemahkan minda rakyat dengan menjadikan khabar-khabar angin dan fitnah sebagai berita sahih.

Pengerusinya, Wan Md. Hazlin Agyl berkata, bekas pemimpin UMNO ini seharusnya berjuang dengan ikhlas demi kesejahteraan rakyat dan negara bukannya berpaksikan nafsu yang gilakan kuasa semata-mata.

Menurut beliau, rentetan daripada pendedahan yang dibuat oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal merupakan antara penerima terbesar dana politik daripada UMNO untuk tujuan pembangunan di kawasan Parlimen masing-masing pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu telah menyebabkan mereka ini ibarat cacing kepanasan malah sanggup bersumpah kononya tidak pernah menerima sebarang sumbangan atau menggunakan dana politik UMNO.

“Semasa Datuk Seri Momamed Nazri menjadi panel dalam sesi kepochi anjuran AKULN baru-baru ini, beliau telah mendedahkan tentang hal ini dan dan ia sekaligus membuktikan bahawa mereka ini tahu bahawa dana yang diterima bukanlah daripada 1MDB, sebaliknya ia adalah wang UMNO sepenuhnya.

“Oleh kerana bimbang helah dan fitnah mereka selama ini terbongkar, sebab itulah mereka melatah lalu segera mengeluarkan kenyataan penafian.

“Ia bukti jelas yang menunjukkan mereka sedang ketakutan rakyat akan tahu tipu muslihat mereka. Sebenarnya rakyat sudah jemu dan jelik dengan cerita-cerita dongeng mereka mengenai 1MDB,” ujarnya kepada UMNO-Online.

Tambah Hazlin, sebagai individu yang pernah berada dalam pentadbiran negara mereka seharusnya sedar bahawa berita-berita palsu di media-media sosial itu hanya akan memecah-belahkan perpaduan rakyat sekali gus menggugat keharmonian di negara ini.

“Kita sepatutnya utamakan perpaduan dan kesejahteraan negara ini selari dengan semangat Negaraku Malaysia.

“Oleh itu AKULN sekali lagi menyeru agar mereka ini tidak lagi menggunakan cara kotor untuk meracuni minda rakyat.

“AKULN sendiri akan terus merangka program-program bagi menerangkan kepada rakyat hakikat sebenar apa yang berlaku agar fitnah tidak terus berleluasa,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

18 − 1 =