KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak berkata umat Islam perlu menghayati kandungan al-Quran yang mengajar mereka menjauhi perpecahan dan persengketaan, selain menguruskan perbezaan pandangan dengan bijaksana.

Perdana menteri berkata bulan Ramadan elok digunakan merapatkan jurang perbezaan dalam kalangan masyarakat.

Dalam perutusan bersempena Nuzul Quran hari ini, beliau berkata: “Kita mengakui banyak perbezaan di kalangan masyarakat Islam tapi juga banyak berkongsi kepentingan, maslahah dan aspirasi bersama.

“Apapun perbezaan yang ada, jika kita sedia berjiwa besar dan berpegang kepada panduan nilai-nilai agama, tradisi dan budaya serta menghormati sistem bernegara yang selama ini kita amalkan, insya-Allah kita akan tetap terpelihara,” katanya.

Najib berkata pembangunan material bukanlah menjadi satu-satunya matlamat dan tumpuan kerajaan kerana ia turut memberi fokus kepada soal pembangunan nilai.

Beliau menegaskan pembangunan nilai dan diri insan sentiasa menjadi keutamaan dan penentu sebenar di sebalik kemajuan ekonomi dan sosial yang zahir.

Beliau berkata bersesuaian dengan Islam sebagai agama negara, hari Nuzul Quran diisytiharkan sebagai cuti umum sebagai tanda membesarkan peristiwa itu.

Ia sekali gus menandakan penghormatan terhadap pelantikan Nabi Muhammad dan penganugerahan al-Quran sebagai panduan suci dalam mengharungi ujian kehidupan, kata Najib.

“Atas semangat yang sama ia disambut dengan pelbagai cara dan acara di peringkat individu, organisasi dan terutamanya masjid-masjid dan surau-surau sebagai tanda kesyukuran serta mengagungkan al-Quran sebagai syiar Islam yang paling utama,” kata perdana menteri.

BERNAMA

BERI MAKLUM BALAS

Please enter your comment!
Please enter your name here

1 × two =